Kagura

Kagura (神楽?, "hiburan dewa") ialah sejenis tarian istiadat upacara Syinto. Perkataan ini singkatan daripada frasa kami no kura ("takhta dewa") , menyatakan bahawa dewa (kami) hadir semasa upacara ini.
Satu fungsi utama kagura ialah chinkon (menyucikan dan menenangkan semangat) , dengan perarakan bersawai. Biasanya seorang pawang perempuan akan menari dan mendapat ilham daripada dewa—dalam latar ini, penari itu bertukar menjadi dewa tersebut semasa persembahannya.[1] Mulanya seni keupacaraan yang datang daripada kamigakari (神懸?, "penilikan bernujum") , kagura telah berkembang ke dalam pelbagai arah setelah lebih daripada seribu tahun. Kini, ia tradisi yang hidup, dengan upacara yang berkait dengan rentak takwim pertanian, kebanyakannya dipelihara dengan baik di bahagian-bahagian Wilayah Shimane, serta pusat-pusat bandar seperti Hiroshima.[2]
Jenis-jenis kagura
[sunting | sunting sumber]
Terdapat dua jenis kagura yang utama: mai dan odori. Mai menggunakan pergerakan membulat yang perlahan, menekankan ketenangan dan keanggunan, manakala odori menggunakan lompatan dan lonjakan pantas, menekankan keaktifan dan tenaga. Kedua-dua jenis ini boleh dianggap sebagai dua fasa kagura: mai ialah persediaan untuk sawai dan odori ialah peringkat sawai luar sedar.
Semasa mai, bomoh perempuan (miko), dikelilingi oleh sekumpulan sami, memegang gohei (tongkat yang digunakan untuk upacara penyucian) serta alat bunyi-bunyian dan melakukan pergerakan membulat untuk memanggil dewa-dewi. Sebaik sahaja bomoh wanita itu bersawai, dia bertukar kepada odori, gerak-geri melompat secara spontan.[3]
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Epik Kojiki dan Nihon Shoki mengisahkan asal-usul tarian ini menurut cerita rakyat. Dalam teks-teks ini, terdapat kisah legenda terkenal tentang dewi matahari Amaterasu, yang menyembunyikan diri di dalam gua, membawa kegelapan dan kesejukan kepada dunia. Ame-no-Uzume, dewi fajar dan keraian, mengetuai dewa-dewa lain dalam tarian liar, dan menarik Amaterasu untuk keluar bagi melihat apa bunyi kekecohan itu.[4] Kagura merupakan salah satu daripada beberapa upcara dan seni yang dikatakan berasal daripada peristiwa ini.
Asalnya dipanggil kamukura/kamikura (神座), kagura bermula sebagai tarian suci yang dipersembahkan di istana Maharaja oleh gadis-gadis kuil (miko) yang kononnya keturunan Ame-no-Uzume. Semasa persembahan, gadis-gadis kuil tersebut biasanya menggunakan alat perantara untuk dewa seperti topeng dan tombak untuk meniru keadaan bersawai itu. Dengan muzik kagura yang mempunyai kuasa untuk memanggil dewa, miko itu mula menari untuk mengubah diri mereka menjadi representasi dewa dan menerima pesanan serta berkat daripada dewa-dewi.[3] Pada tahun 1871, pejabat Syinto Iwami mendakwa bahawa kagura teater yang dipersembahkan oleh sami-sami di barat Jepun merendahkan maruah mereka dan oleh itu mengharamkan persembahan tersebut. Kerana sokongan kumpulan persembahan awam pada masa itu, karya persembahan tersebut masih terpelihara.[5]
Lama-kelamaan, mikagura (御神楽) yang dipersembahkan di dalam kawasan suci dan peribadi istana Maharaja ini telah mengilhamkan tarian-tarian upacara yang popular dipanggil satokagura (里神楽), iaitu bentuk popular yang diamalkan di kampung-kampung di seluruh negara, diadaptasi menjadi pelbagai tradisi rakyat lain dan berkembang menjadi beberapa bentuk yang berbeza. Antaranya ialah miko kagura, shishi kagura, serta tarian kagura gaya Ise dan gaya Izumo. Banyak lagi variasi telah berkembang setelah berabad-abad, sesetengahnya agak baharu dan kebanyakannya telah menjadi tradisi rakyat yang sekular.
Kagura, lebih-lebih lagi bentuk yang melibatkan penceritaan atau lakonan semula dongeng, juga salah satu pengaruh besar teater Noh.
- Tarian Kagura pada tahun 1914
- Gohei – tongkat yang digunakan untuk upacara penyucian
- Topeng persembahan kagura kontemporari
Kagura Maharaja
[sunting | sunting sumber]
Mikagura (御神楽) ialah tarian upacara yang dipersembahkan di istana maharaja dan di kuil-kuil Syinto yang penting: Kamo-jinja dan Iwashimizu Hachiman-gū.[6] Ia terdiri daripada menyambut, menghiburkan dan menyapa dewa-dewi dengan lagu-lagu berirama yang lucu atau puitis. Hari ini ia kadangkala dianggap sebagai subgenre gagaku, salah satu pengaruhnya.[7] Ia muncul sebelum pengaruh China, dan mempunyai unsur-unsur penduduk asli serta pengaruh daripada unsur-unsur lain seperti kangen (管弦), bugaku (舞楽) dan saibara (催馬楽), yang semuanya bentuk gagaku,[8][9] Pendeknya, mikagura boleh dianggap sebagai tarian-tarian yang diiringi oleh muzik gagaku.[10]
Kagura-uta ialah himpunan nyanyian suci yang mengandungi 26 lagu (Niwabi, Achime, Sakaki, Karakami, Hayakarakami, Komomakura, Sazanami, Senzai, Hayauta, Hoshi, Asakura, Sonokoma, dsb.) yang asalnya dipersembahkan oleh koir lelaki selama beberapa hari tetapi kini telah dikurangkan kepada 12 nyanyian yang dipersembahkan dalam masa enam jam.[8] Alat-alat muzik yang digunakan termasuk yokobue (笛) dan/atau hichiriki, kadangkala juga dengan kayu tepuk shakubyoshi dan yamatogoto.[6]
Terdapat beberapa tarian mikagura, seperti:[8]
- Yamato Mai (大和舞?, "tarian Jepun") , dikaitkan dengan Yamato uta (大和歌?, "lagu Jepun") , menggunakan seruling ryūteki atau hichiriki dan sepasang shakubyōshi, dan dengan atau tanpa celempung/ziter;
- Azuma Asobi (東遊?, "Hiburan Timur") , menggunakan seruling komabue;
- Kume Mai (久米舞?, "tarian Kume") , dikaitkan dengan kume uta, menggunakan seruling kagurabue, hichiriki dan wagon.
Tarian upacara rasmi Maharaja dipersembahkan di beberapa tempat suci dan pada peristiwa-peristiwa khas. Di Tiga Tempat Suci Istana, di mana replika Yata no kagami disimpan, ia dipersembahkan bersama muzik istana gagaku. Mikagura juga dipersembahkan pada pesta menuai Maharaja dan di kuil-kuil utama seperti Ise, Kamo, dan Iwashimizu Hachiman-gū. Amalan ini, yang dikenali sebagai naishidokoro no mikagura, telah diasaskan secara rasmi oleh Maharaja Ichijō pada tahun 1002, namun ia hanya menjadi acara tahunan mulai tahun 1098. Persembahan asalnya berlangsung di halaman naishidokoro di sekeliling unggun api, dengan dua kumpulan pemuzik yang berhadap-hadapan, motokata di sebelah kiri dan suekata di sebelah kanan, bermain seperti dalam dialog muzik, dengan motokata mempersembahkan lagu kamiuta dan suekata mempersembahkan petikan-petikan teks rakyat purba; dahan sakaki yang digunakan dalam tarian itu secara tradisinya dipersembahkan kepada maharaja pada akhir persembahan.[11]
Menurut Lembaga Upacara Agensi Rumah Tangga Imperial, mikagura masih berlangsung setiap Disember di Tempat Suci Maharaja dan pada majlis-majlis pesta menuai Maharaja.
Kagura rakyat
[sunting | sunting sumber]
Satokagura, atau "kagura biasa", ialah istilah umum yang merangkumi begitu banyak tarian rakyat yang berasal daripada tarian upacara Maharaja (mikagura), dan digabungkan dengan tradisi-tradisi rakyat yang lain. Ia asal usul separa bagi kedua-dua Noh dan kyōgen.[12] Beberapa tradisi kagura rakyat wujud:[6]

- Miko kagura – tarian yang dipersembahkan oleh gadis-gadis kuil (miko) yang asalnya berasal daripada tarian upacara dengan miko menyalurkan dewa atau kami, sebagai sebahagian daripada tarian Istana Maharaja. Bentuknya asalnya sangat bebas, serupa dengan pelbagai tarian dan upacara kerasukan dewa lain, tetapi lama-kelamaan telah menjadi bentuk yang sangat tetap. Hari ini, ia dipersembahkan oleh kuil semasa perayaan daijō-sai (大嘗祭) dan untuk memuja kami dalam matsuri. Ia juga dipersembahkan di tokong-tokong Buddha sebagai persembahan seni mempertahankan diri. Tarian ini sering dipersembahkan dengan alat upacara, seperti loceng, buluh, dahan sakaki atau panji kertas.
- Izumo-ryū kagura – tarian-tarian yang dipersembahkan di Kuil Izumo mempunyai beberapa tujuan, antaranya upacara penyucian, sambutan hari-hari bertuah, dan lakonan semula cerita rakyat. Asalnya agak popular di kawasan Chūgoku, berhampiran Izumo, tarian ini telah tersebar ke seluruh negara dan telah berkembang setelah berabad-abad, menjadi lebih kepada hiburan rakyat sekular berbanding upacara keagamaan rasmi. Tarian suci kuil Sada telah disenaraikan dalam senarai UNESCO bagi Warisan budaya tidak ketara kemanusiaan sejak tahun 2011.[13]
- Hayachine Kagura – satu bentuk tarian yang berasal daripada Yamabushi (kumpulan bergerak yang mengamalkan kehidupan zuhud untuk menjadi perkasa). Genre ini menekankan kuasa dan tenaga. Para pelakon sentiasa memakai topeng dan menggunakan alat seperti dram dan pedang untuk mewakili kuasa ajaib yang diproses oleh Yamabushi.[5] Ia telah disenaraikan pada tahun 2009 sebagai Warisan budaya tidak ketara kemanusiaan oleh UNESCO.[14]
- Yutate kagura – satu bentuk tarian yang mana miko dan para sami mencelup daun buluh ke dalam air panas dan memercikkan air panas itu pada diri mereka dengan menggoncang daun tersebut, kemudian menyebarkan air panas itu pada orang di kawasan tersebut.
- Shishi kagura – satu bentuk tarian singa, sekumpulan penari berlakon sebagai singa (shishi) dan berarak di sekitar pekan. Topeng dan kostum singa dilihat sebagai, dalam beberapa cara, menampakkan semangat singa, dan ini satu bentuk pemujaan dan upacara rakyat, sama seperti tarian-tarian singa lain di Jepun dan tempat lain.
- Daikagura – satu bentuk tarian yang berasal daripada upacara yang dipersembahkan oleh sami-sami pengembara di antara Kuil Besar Ise dan Kuil Atsuta, yang akan pergi ke kampung-kampung, persimpangan jalan dan tempat lain untuk membantu penduduk tempatan menghalau roh jahat. Aksi akrobatik dan tarian singa adalah utama dalam upacara ini.
Sekitar permulaan Kesyogunan Tokugawa (1603–1868), persembahan-persembahan yang berasal daripada kagura muncul di Edo sebagai hiburan utama. Sehubung dengan sambutan sempena permulaan kesyogunan, tarian singa, akrobatik, silap mata dan pelbagai hiburan lain dipersembahkan di atas pentas di seluruh bandar, kononnya di bawah naungan daikagura. Sepanjang tempoh tersebut, ini menjadi lebih rapat dikaitkan dengan penceritaan rakugo dan bentuk hiburan popular yang lain. Daikagura terus dipersembahkan sehingga hari ini dan terdapat banyak unsur hiburan jalanan.
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ↑ Averbuch, Irit (1998). "Shamanic Dance in Japan: The Choreography of Possession in Kagura Performance". Asian Folklore Studies. 57 (2): 293–329. doi:10.2307/1178756. ISSN 0385-2342. JSTOR 1178756.
- ↑ Petersen, David (2007). Invitation to Kagura: Hidden Gem of the Traditional Japanese Performing Arts. Morrisville: Lulu Press.
- 1 2 Ralat petik: Tag
<ref>tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama ":02" - ↑ Nihongi: Chronicles of Japan from the Earliest Times to A.D. 697, diterjemah daripada bahasa Cina dan Jepun asal oleh William George Aston. Buku I, bahagian 1, halaman 44f. Tuttle Publishing. Edisi Tra (Julai 2005). Edisi pertama diterbitkan 1972. ISBN 978-0-8048-3674-6
- 1 2 Lancashire, Terence (2001). ""Kagura" - A "Shinto" Dance? Or Perhaps Not". Asian Music. 33 (1): 25–59. doi:10.2307/834231. ISSN 0044-9202. JSTOR 834231.
- 1 2 3 Takayama Shigeru (20 Februari 2007). "Performing Arts: Kagura". Encyclopedia of Shinto (dalam bahasa Inggeris). Universiti Kokugakuin. Dicapai pada 7 Jun 2019..
- ↑ Whitney Hall, John; M. Brown, Delmer; B. Jansen, Marius (1993). The Cambridge History of Japan (dalam bahasa Inggeris). Jil. 1. Cambridge University Press. m/s. 650. ISBN 978-0-521-22352-2. Dicapai pada June 7, 2019.
- 1 2 3 Akira Tamba. "Musiques traditionnelles du Japon". Actes Sud.
- ↑ S. Kishibe (Mac 1984) [1984]. The Traditional Music of Japan, Ongaku no tomo edition. Tokyo: Ongaku No Tomo Sha Corp. m/s. 42.
- ↑ Véronique Brindeau. "Musiques du Japon". Philharmonie de Paris à la demande. Dicapai pada 29 Jun 2020..
- ↑ Milone, Marco (2021). Lo scintoismo (dalam bahasa Itali). Napoli: Guida. m/s. 697–698. ISBN 9788868667603.
- ↑ "Shinto Shrines". Japan National Tourism Organization (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Februari 2007. Dicapai pada 4 Mei 2009..
- ↑ "Le Sada shin noh, danse sacrée au sanctuaire de Sada, Shimane". ich.unesco.org. Dicapai pada 7 Jun 2019.
- ↑ "Le kagura d'Hayachine". ich.unesco.org. Dicapai pada 7 Jun 2019.
- Diperoleh terutamanya daripada rencana Wikipedia Jepun.
- Giolai Andrea, Introducing Mikagura.Some Ethnomusicological Features of an Ancient Japanese upacara, https://web.archive.org/web/20160316132415/http://www.centrostudiorientaliroma.net/introducing-mikagura-%e5%be%a1%e7%a5%9e%e6%a5%bd-some-ethnomusicological-features-of-an-ancient-japanese-upacara/?lang=en
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]
Kategori berkaitan Kagura di Wikimedia Commons