Pergi ke kandungan

Prabowo Subianto

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Prabowo Subianto
Potret rasmi Prabowo Subianto
Potret rasmi, 2024
Presiden Indonesia
Menyandang jawatan
20 Oktober 2024
Didahului olehJoko Widodo
Menteri Pertahanan
Dalam jawatan
23 Oktober 2019 – 20 Oktober 2024
PresidenJoko Widodo
Timbalan
Didahului olehRyamizard Ryacudu
Digantikan olehSjafrie Sjamsoeddin
Pengerusi Parti Gerindra
Menyandang jawatan
20 September 2014
Didahului olehSuhardi [id]
Jawatan tentera
Panglima Kostrad
Dalam jawatan
20 Mac 1998 – 22 Mei 1998
Presiden
Didahului olehSugiono
Digantikan oleh
  • Johnny Lumintang (pemangku)
  • Djamari Chaniago
Komandan Jeneral Kopassus
Dalam jawatan
1 Disember 1995 – 20 Mac 1998
PresidenSuharto
Didahului olehSubagyo Hadi Siswoyo
Digantikan olehMuchdi Purwopranjono
Maklumat peribadi
Lahir
Prabowo Subianto Djojohadikusumo

(1951-10-17) 17 Oktober 1951 (umur 75)
Jakarta, Indonesia
Parti politikGerindra (sejak 2008)
PasanganSiti Hediati Hariyadi (k. 1983; sep. 98)
AnakDidit Hediprasetyo
Ibu bapa
Saudara
Pendidikan
KabinetKabinet Merah Putih
TandatanganTandatangan
Laman web
Perkhidmatan tentera
Cabang/khidmatTentera Darat Indonesia
PangkatJeneral (kehormat)
UnitKopassus (pasukan khas)
Pangkalan
Perang/Pertempuran
No. perkhidmatan27082

Prabowo Subianto Djojohadikusumo[a] (lahir 17 Oktober 1951) ialah seorang ahli politik, ahli perniagaan, dan pegawai tentera bersara Indonesia yang telah berkhidmat sebagai presiden Indonesia kelapan sejak 2024. Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai menteri pertahanan ke-26 di bawah Presiden Joko Widodo dari 2019 hingga 2024. Prabowo ialah presiden Indonesia ketiga yang mempunyai latar belakang tentera selepas Suharto dan Susilo Bambang Yudhoyono dan merupakan presiden penggal pertama yang tertua dalam sejarah Indonesia.

Prabowo lulus dari Akademi Tentera Indonesia pada tahun 1970 dan sebahagian besarnya berkhidmat dalam Pasukan Khas (Kopassus) sehinggalah beliau dilantik untuk memimpin Komando Cadangan Strategik (Kostrad) pada tahun 1998. Pada lewat tahun yang sama, beliau telah diberhentikan daripada tentera dan seterusnya dilarang daripada memasuki Amerika Syarikat atas dakwaan melakukan pencabulan hak asasi manusia.[1][2][3][4][5]

Pada awal 2008, lingkaran dalaman Prabowo telah menubuhkan Parti Gerindra. Dalam pilihan raya presiden 2009, beliau telah bertanding tanpa kejayaan untuk jawatan naib presiden sebagai pasangan gandingan Megawati Sukarnoputri.[6] Beliau telah bertanding dalam pilihan raya presiden 2014[7] dan ditewaskan oleh gabenor Jakarta Joko Widodo, keputusan yang mana pada mulanya dipertikaikan oleh beliau.[8] Beliau sekali lagi membuat percubaan yang tidak berjaya untuk merebut jawatan presiden pada 2019 menentang Joko Widodo, bersama Sandiaga Uno sebagai pasangan gandingannya dan dengan sokongan daripada Gerindra, Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Parti Amanat Nasional (PAN), Parti Demokrat (Demokrat), dan Parti Berkarya.[9][10] Keengganannya untuk menerima keputusan tersebut telah menyaksikan para pengikutnya mengadakan protes yang mencetuskan rusuhan di Jakarta.[11] Walau bagaimanapun, selepas satu persaingan yang sengit, Prabowo menyertai kabinet Joko Widodo sebagai menteri pertahanannya bagi tempoh 2019 hingga 2024.[12]

Pada 10 Oktober 2021, Gerindra mengumumkan Prabowo sebagai calon mereka dalam pilihan raya presiden 2024.[13] Pada 12 Ogos 2022, Prabowo mengumumkan bahawa beliau menerima pencalonan Gerindra.[14] Prabowo mengisytiharkan kemenangan dalam pilihan raya tersebut pada 14 Februari 2024, tatkala tinjauan tidak rasmi awal menunjukkan beliau mendahului dalam pusingan pertama pengundian.[15] Pada 20 Mac, Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) telah memperakui keputusan tersebut dan mengisytiharkannya sebagai bakal presiden Indonesia.[16] Mahkamah Perlembagaan (MK) mengesahkan statusnya pada 22 April 2024.[17][18][19] Prabowo telah mengangkat sumpah sebagai presiden Indonesia ke-8 pada 20 Oktober 2024.

Kehidupan Awal dan Pendidikan

[sunting | sunting sumber]

Prabowo Subianto dilahirkan di Jakarta dan merupakan anak kepada pakar ekonomi terkenal, Sumitro Djojohadikusumo. Beliau menghabiskan zaman kanak-kanaknya di luar negara mengikut keluarga, yang membolehkan beliau menguasai lima bahasa secara fasih iaitu Indonesia, Perancis, Jerman, Inggeris, dan Belanda.

Minatnya dalam bidang ketenteraan dipengaruhi oleh bapa saudaranya, Subianto Djojohadikusumo, yang terkorban dalam Pertempuran Lengkong. Beliau memulakan kerjaya rasmi selepas tamat pengajian dari Akademi Tentera Indonesia (Akademi Militer Nasional) di Magelang pada tahun 1974 dengan pangkat leftenan dua.

Kerjaya Ketenteraan

[sunting | sunting sumber]

Prabowo merupakan antara komander operasi termuda dalam sejarah Tentera Darat Indonesia apabila beliau mengetuai operasi Pasukan Nanggala di Timor Timur. Kerjaya beliau meningkat pantas melalui beberapa jawatan penting:

  • 1983: Dilantik sebagai Timbalan Komander Detasmen Counter-Terrors di Komando Pasukan Khas (Kopassus).
  • 1996: Menjawat jawatan Komander Jeneral Kopassus dan mengetuai operasi membebaskan tebusan di Mapenduma.
  • 1998: Dilantik memimpin Komando Cadangan Strategis Angkatan Darat (Kostrad).

Walau bagaimanapun, tahun 1998 menjadi titik pusingan kerjayanya. Susulan peletakan jawatan bapa mentuanya, Presiden Suharto, beliau telah ditamatkan perkhidmatan daripada tentera. Pada tempoh tersebut, beliau juga disekat daripada memasuki Amerika Syarikat atas dakwaan pencabulan hak asasi manusia.[20]

Kerjaya Perniagaan dan Politik

[sunting | sunting sumber]

Selepas bersara daripada dunia ketenteraan, beliau menghabiskan masa di Jordan dan beberapa negara Eropah. Sekembalinya ke Indonesia, beliau menceburi bidang perniagaan mengikut jejak langkah adiknya, Hashim Djojohadikusumo. Kini, beliau memiliki empayar perniagaan yang merangkumi sekurang-kurangnya 27 buah syarikat dalam pelbagai sektor.

Pada tahun 2008, beliau mengasaskan Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) sebagai platform perjuangan politiknya.

Penglibatan Sosial Dan Sukan

[sunting | sunting sumber]

Selain politik, Prabowo aktif dalam pelbagai organisasi:

  • Pertanian: Menjawat jawatan sebagai pengerusi Persatuan Keharmonian Petani Indonesia (HKTI).
  • Sukan: Aktif menerajui Persatuan Pencak Silat Indonesia (IPSI) dan Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (Persilat).

Kehidupan Peribadi

[sunting | sunting sumber]
Prabowo Subianto (berdiri, kanan) bersama ahli keluarganya.

Latar Belakang Keluarga

[sunting | sunting sumber]

Prabowo merupakan anak kepada tokoh ekonomi terkemuka, Soemitro Djojohadikusumo, dan Dora Marie Sigar. Beliau adalah cucu kepada Margono Djojohadikusumo, pengasas Bank Negara Indonesia serta Ketua Dewan Pertimbangan Agung (DPA) yang pertama.

Beliau merupakan anak ketiga daripada empat orang adik-beradik. Beliau mempunyai dua orang kakak, iaitu Biantiningsih Miderawati dan Maryani Ekowati, serta seorang adik lelaki, Hashim Djojohadikusumo, yang merupakan seorang usahawan terkenal. Ibunya, Dora Marie Sigar, telah menghembuskan nafas terakhir di Singapura pada tahun 2008.[21]

Pendidikan

[sunting | sunting sumber]

Disebabkan tugasan bapanya di luar negara, Prabowo menerima pendidikan awal di pelbagai institusi antarabangsa yang berprestij, antaranya:

Sekembalinya ke tanah air, beliau memilih untuk menceburi bidang ketenteraan dan mendaftarkan diri di Akademi Militer (AKABRI), Magelang pada tahun 1970, sebelum berjaya menamatkan pengajian pada tahun 1974.

Penghargaan

[sunting | sunting sumber]

Tanda Kehormatan Dalam Negeri

[sunting | sunting sumber]
Negara Tanda Kehormatan Tahun Nota
Indonesia Indonesia Jeneral TNI (Kehormat)2024Dianugerahkan oleh Presiden Joko Widodo atas jasa luar biasa dalam pertahanan.
Bintang Yudha Dharma Pratama-Tanda kehormatan bagi anggota TNI atas jasa melebihi panggilan tugas.
Bintang Kartika Eka Paksi Pratama-Penghargaan tertinggi untuk perkhidmatan dalam TNI Angkatan Darat.
Bintang Yudha Dharma Nararya--
Bintang Kartika Eka Paksi Nararya--
Satyalancana Kesetiaan (8, 16, 24 Tahun)-Pingat bagi tempoh perkhidmatan berterusan dalam tentera.
Satyalancana G.O.M VII-Terlibat dalam operasi tentera di Aceh.
Satyalancana Raksaka Dharma-Terlibat dalam operasi di Papua (Irian Jaya).
Satyalancana Seroja-Terlibat dalam operasi di Timor Timur.
Satyalancana Dwidya Sistha-Jasa sebagai tenaga pengajar dalam institusi pendidikan tentera.
Satyalancana Wira Karya--
Satyalancana Kebhaktian Sosial--
Satyalancana Ksatria Yudha-Khusus untuk anggota elit Kopassus.

Tanda Kehormatan Luar Negeri

[sunting | sunting sumber]
Negara / Wilayah Tanda Kehormatan Tahun Nota
Korea Selatan Korea Selatan Grand Order Of Mugunghwa (Mugunghwa Daemunjang)2026Anugerah tertinggi Republik Korea dianugerahkan oleh Presiden Lee Jae-myung di Seoul sebagai pengiktirafan atas sumbangan luar biasa dalam memperkukuh hubungan strategik komprehensif antara Indonesia dan Korea Selatan.
Peru Peru Grand Collar of the Order of the Sun of Peru2024Anugerah tertinggi Peru; diterima semasa kunjungan rasmi sebagai Presiden.
Jordan Jordan The Bejewelled Grand Cordon of Al Nahda2025Pengiktirafan bagi sumbangan kepada keamanan serantau.
Malaysia Malaysia Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati (DK I)2025Dianugerahkan oleh Sultan Ibrahim, Yang di-Pertuan Agong Malaysia.
Brunei Brunei Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati (D.K.L.U)2025Membawa gelaran "Dato Laila Utama"; dianugerahkan oleh Sultan Hassanal Bolkiah.
Pakistan Pakistan Nishan-e-Pakistan2025Anugerah awam tertinggi Pakistan; dianugerahkan oleh Presiden Asif Ali Zardari.
Singapura Singapura Darjah Utama Bakti Cemerlang (Tentera)2023Diterima semasa menjawat sebagai Menteri Pertahanan.
Melaka Melaka, Malaysia Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M)2022Membawa gelaran Datuk Seri; diterima semasa menjawat sebagai Menteri Pertahanan.

Operasi di Timor Leste

[sunting | sunting sumber]

Misi Penangkapan Nicolau Lobato

[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1976, Prabowo Subianto yang ketika itu berpangkat kapten terlibat dalam operasi Tim Nanggala di Timor Leste. Beliau merupakan salah seorang komander operasi termuda dalam misi tersebut. Unit di bawah pimpinan beliau memainkan peranan penting dalam menjejak Nicolau dos Reis Lobato, ketua FRETILIN merangkap Presiden Timor Leste yang pertama.

Pada 31 Disember 1978, Nicolau Lobato terkorban selepas tertembak di bahagian perut semasa pertempuran sengit dengan pasukan TNI di Lembah Mindelo.[22] Kejayaan operasi ini merupakan titik penting dalam sejarah ketenteraan beliau di wilayah tersebut.

Penangkapan Xanana Gusmão

[sunting | sunting sumber]

Pada November 1992, Prabowo sekali lagi terlibat dalam operasi ketenteraan skala besar yang membawa kepada penangkapan pemimpin penentang, Xanana Gusmão. Lokasi persembunyian Gusmão berjaya dikesan di sebuah lubang bawah tanah di Lahane, berhampiran Dili.[23]

Maklumat strategik mengenai kedudukan Gusmão dikatakan diperoleh hasil daripada risikan dan pemantauan komunikasi, termasuk perbualan telefon antara beliau dengan José Ramos-Horta.[23]> Gusmão kemudiannya dibawa ke Jakarta untuk dibicarakan sebelum dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada Mei 1993.

Pasukan Khusus (Kopassus)

[sunting | sunting sumber]

Penubuhan Unit Anti-Keganasan

[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1983, Prabowo Subianto telah ditugaskan dalam unit elit Detasmen 81 (kini dikenali sebagai Sat-81 Gultor) yang memfokuskan kepada operasi memerangi keganasan. Beliau merupakan antara pengasas unit ini setelah berjaya menamatkan latihan kepakaran di luar negara, termasuk kursus Special Forces Officer di Fort Benning serta latihan risikan dan anti-keganasan di Fort Bragg, Amerika Syarikat. Selain itu, beliau juga merupakan lulusan terbaik daripada kursus kepimpinan di GSG-9, Jerman.

Puncak Kepimpinan Ketenteraan

[sunting | sunting sumber]

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Prabowo telah diberikan kepercayaan untuk menggalas pelbagai tanggungjawab strategik. Beliau pernah berkhidmat sebagai Komandan Batalion Infantri Lintas Udara 328, di mana beliau berjaya meningkatkan prestasi unit tersebut menjadi antara yang terbaik dalam TNI.

Kerjaya beliau dalam pasukan elit mencapai kemuncaknya melalui pelantikan berikut:

  • 1995: Dilantik sebagai Komandan Komando Pasukan Khusus (Kopassus).
  • 1996: Dinaikkan pangkat kepada Komandan Jeneral (Danjen) Kopassus, menjadikannya ketua tertinggi bagi kor elit tersebut.[24]

Di bawah kepimpinan beliau sebagai Danjen Kopassus, beliau telah menerajui beberapa misi berprofil tinggi, termasuk Operasi Mapenduma pada tahun 1996 bagi membebaskan penyelidik antarabangsa yang ditawan oleh pemberontak di Papua.

Kontroversi dan Dakwaan Pelanggaran Hak Asasi Manusia

[sunting | sunting sumber]

Penglibatan di Timor Timur

[sunting | sunting sumber]

Sepanjang tempoh Pendudukan Indonesia di Timor Timur, peranan Prabowo Subianto sering menjadi subjek penelitian antarabangsa. Beliau dikaitkan dengan beberapa siri operasi ketenteraan yang didakwa melibatkan pencabulan hak asasi manusia yang serius. Beberapa laporan mendakwa penggunaan taktik keras oleh unit di bawah seliaan beliau dalam usaha membanteras gerakan pro-kemerdekaan.

Salah satu peristiwa yang sering dikaitkan dengan ketegangan di wilayah tersebut ialah Pembunuhan beramai-ramai Santa Cruz pada tahun 1991, yang mengakibatkan kematian lebih 250 orang awam.[25] Walaupun terdapat kritikan tajam, tahap penglibatan langsung beliau dalam arahan khusus bagi peristiwa tersebut kekal menjadi perdebatan antara penyokong hak asasi manusia dan pihak tentera.

Tuntutan Akauntabiliti Antarabangsa

[sunting | sunting sumber]

Susulan daripada laporan mengenai keganasan di Timor Timur, terdapat desakan daripada pelbagai organisasi antarabangsa dan aktivis tempatan agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyiasat dakwaan Jenayah terhadap kemanusiaan.

Dakwaan-dakwaan ini telah memberikan kesan jangka panjang terhadap imej antarabangsa beliau, termasuk sekatan visa ke Amerika Syarikat yang dikenakan selama beberapa dekad sebelum ditarik balik pada tahun 2020 semasa beliau menjawat jawatan Menteri Pertahanan.[26]>

Peranan Semasa Krisis Mei 1998

[sunting | sunting sumber]

Kawalan Keselamatan Di Jakarta

[sunting | sunting sumber]

Semasa kemuncak rusuhan reformasi 1998, Prabowo Subianto atas kapasiti beliau sebagai Panglima Kostrad telah diminta oleh Panglima Kodam Jaya untuk membantu mengawal keselamatan di Jakarta. Di bawah seliaan beliau, pasukan tentera berjaya mengamankan beberapa lokasi strategik dan bangunan penting, termasuk kediaman rasmi Naib Presiden B.J. Habibie di Kuningan.

Selain tindakan ketenteraan, beliau turut memainkan peranan dalam diplomasi awam dengan memujuk tokoh reformis, Amien Rais, untuk membatalkan perhimpunan besar-manaran di Monas bagi mengelakkan pertumpahan darah yang lebih besar antara orang awam dan pihak berkuasa.

Pertemuan Dengan Tokoh Reformis

[sunting | sunting sumber]

Pada 14 Mei 1998, Prabowo mengadakan pertemuan dengan barisan tokoh gerakan reformasi dan aktivis hak asasi manusia, antaranya Adnan Buyung Nasution, Setiawan Djodi, W.S. Rendra, dan Bambang Widjajanto. Langkah ini dilihat sebagai usaha beliau untuk mencari jalan penyelesaian krisis tanpa melalui jalan kekerasan.

Walaupun peranannya dalam tempoh ini sering menjadi subjek perdebatan sejarah, beliau secara konsisten menegaskan pendiriannya untuk tidak melakukan rampasan kuasa tentera (coup d'état). Beliau berpendapat bahawa sebarang pengambilalihan kuasa secara paksa hanya akan memburukkan lagi keadaan ekonomi dan kestabilan politik Indonesia pada ketika itu.[27]

Menteri Pertahanan (2019–2024)

[sunting | sunting sumber]

Prabowo Subianto dilantik sebagai Menteri Pertahanan oleh Presiden Joko Widodo pada 23 Oktober 2019. Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau memberi fokus kepada pemodenan Alat Utama Sistem Senjata (Alutsista) dan memperkukuh doktrin pertahanan negara melalui konsep "Pertahanan Semesta".

Pemodenan Aset Ketenteraan

[sunting | sunting sumber]

Beliau memulakan langkah agresif untuk menaik taraf aset Tentara Nasional Indonesia (TNI) bagi memenuhi sasaran Minimum Essential Force (MEF). Antara pencapaian utama termasuk:

  • Pembelian Pesawat Tempur: Memuktamadkan perjanjian pembelian 42 buah pesawat tempur Dassault Rafale dari Perancis dan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk perolehan pesawat F-15EX dari Amerika Syarikat.
  • Industri Pertahanan Tempatan: Memperkasa Pindad melalui pengeluaran kenderaan taktis Maung dan memperkukuh kerjasama dengan industri tempatan untuk mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar.
  • Komponen Cadangan (Komcad): Berjaya membentuk dan melatih ribuan anggota Komponen Cadangan (Komcad) sebagai pasukan sokongan kepada TNI dalam situasi kecemasan nasional.

Diplomasi Pertahanan

[sunting | sunting sumber]

Prabowo mengamalkan dasar diplomasi yang aktif dengan melawat lebih 20 buah negara dalam tempoh singkat untuk menjalinkan kerjasama strategik. Beliau berjaya memulihkan hubungan ketenteraan dengan Amerika Syarikat, yang membawa kepada penarikan balik sekatan visa terhadap beliau pada tahun 2020. Beliau juga memperkukuh hubungan pertahanan dengan Perancis, Turki, dan negara-negara ASEAN.

Pendidikan dan Kebajikan

[sunting | sunting sumber]

Di bawah seliaan beliau, Universiti Pertahanan Indonesia (Unhan) telah diperkasakan dengan penubuhan empat fakulti baharu (Kedokteran, Farmasi, MIPA, dan Teknik Militer). Beliau juga memberikan penekanan kepada pembinaan rumah sakit tentera yang moden dan penambahbaikan kualiti pendidikan di SMA Taruna Nusantara.

Program Food Estate

[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 2020, beliau telah diberikan tanggungjawab tambahan oleh Presiden Joko Widodo untuk menerajui program Food Estate di Kalimantan Tengah sebagai sebahagian daripada strategi sekuriti makanan negara yang dianggap sebagai sebahagian daripada pertahanan bukan tentera.

Presiden Indonesia (2024–kini)

[sunting | sunting sumber]

Prabowo Subianto mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia ke-8 pada 20 Oktober 2024 di Bangunan MPR/DPR, Jakarta, bersama Wakil Presiden Gibran Rakabuming Raka. Beliau mencatatkan sejarah sebagai presiden tertua di Indonesia ketika dilantik (73 tahun) dan memimpin jemaah menteri yang dikenali sebagai Kabinet Merah Putih.

Dasar Domestik dan Ekonomi

[sunting | sunting sumber]

Sejak setahun pertama pentadbirannya, Prabowo memfokuskan kepada kedaulatan makanan, tenaga, dan pengurusan sumber asli secara cekap:

  • Program Makan Bergizi Gratis (MBG): Inisiatif unggulan yang menyasarkan pemberian makanan berkhasiat kepada murid sekolah bagi menangani masalah bantut (stunting) dan meningkatkan kualiti sumber manusia. Program ini dianggarkan mencipta sehingga 1.5 juta peluang pekerjaan baharu melalui rangkaian dapur komuniti.
  • Kedaulatan Ekonomi & Danantara: Menubuhkan Badan Pengelola Investasi (BPI) Danantara sebagai Sovereign Wealth Fund untuk menguruskan aset strategik negara dan memacu perindustrian nasional.
  • Pencapaian Ekonomi (2025): Di bawah kepimpinan beliau, Indonesia mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang stabil pada kadar 5.12% (Suku Ke-2 2025) dengan kadar kemiskinan turun ke paras terendah dalam sejarah negara iaitu 8.47%.
  • Pemeriksaan Kesihatan Percuma: Melaksanakan program pemeriksaan kesihatan nasional secara percuma untuk setiap warga negara pada hari ulang tahun mereka, yang telah dimanfaatkan oleh lebih 43 juta orang setakat Oktober 2025.

Penguatkuasaan Undang-undang

[sunting | sunting sumber]

Pentadbiran beliau menunjukkan ketegasan dalam penyelamatan kewangan negara. Pada April 2026, beliau menyaksikan penyerahan denda administratif dan penyelamatan aset hasil penguatkuasaan kawasan hutan berjumlah lebih Rp31.3 trilion kepada kerajaan bagi tujuan pembaikan sekolah dan rumah rakyat.

Dasar Luar Negara

[sunting | sunting sumber]

Prabowo mengamalkan diplomasi "proaktif" dengan mengekalkan dasar luar yang bebas, aktif, dan berkecuali (non-blok):

  • Diplomasi Global: Melakukan siri lawatan intensif ke lebih 25 buah negara (termasuk China, AS, Rusia, dan Britain) untuk mengukuhkan pelaburan dan kedudukan geopolitik Indonesia.
  • Isu Tenaga: Pada April 2026, beliau akan mengadakan lawatan rasmi ke Rusia untuk bertemu Presiden Vladimir Putin bagi merundingkan kerjasama strategik berkaitan bekalan tenaga dan geopolitik global.
  • Pemulihan Hubungan AS: Berjaya mengukuhkan hubungan ketenteraan dan perdagangan dengan Amerika Syarikat, termasuk perundingan dagang yang saling menguntungkan bagi pelabur global.

Pengunduran dari Organisasi Sukan

[sunting | sunting sumber]

Sebagai komitmen untuk fokus sepenuhnya kepada tugas sebagai ketua negara, Prabowo secara rasmi berundur daripada jawatan Ketua Umum Persatuan Pencak Silat Indonesia (IPSI) pada 11 April 2026 selepas menerajui organisasi tersebut selama lebih dua dekad.

Lawatan Luar Negara (2024–kini)

[sunting | sunting sumber]

Sejak memegang jawatan, Presiden Prabowo Subianto telah mengamalkan diplomasi proaktif dengan melakukan siri lawatan ke pelbagai negara strategik untuk memperkukuh kerjasama ekonomi, pertahanan, dan keselamatan makanan.

Tahun 2024

[sunting | sunting sumber]

Dalam tempoh dua bulan pertama pentadbirannya, beliau melakukan siri lawatan "maraton" ke negara kuasa besar dunia:

  • 8–10 November: China – Menemui Presiden Xi Jinping; memperoleh komitmen pelaburan AS$10 bilion.
  • 11–13 November: Amerika Syarikat – Menemui Presiden Joe Biden di Rumah Putih; memperkukuh kerjasama keselamatan dan perdagangan.
  • 14–16 November: Peru – Menghadiri Sidang Kemuncak APEC di Lima.
  • 17–19 November: Brazil – Menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro.
  • 20–23 November: United Kingdom – Menemui Raja Charles III dan PM Keir Starmer; fokus kepada pelaburan hijau dan pemuliharaan hutan.
  • 23–24 November: Emiriah Arab Bersatu (UAE) – Menemui Presiden Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan untuk kerjasama ekonomi strategik.
  • Disember: Pakistan (Menerima anugerah Nishan-e-Pakistan) dan Mesir.

Tahun 2025

[sunting | sunting sumber]

Tahun ini menyaksikan kekerapan lawatan yang tinggi dengan fokus kepada rantau ASEAN dan rakan strategik global:

  • Januari: Malaysia (Lawatan Negara pertama ke ASEAN; menemui Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim) dan India (Tetamu Kehormat Hari Republik India).
  • April: Qatar (Menemui Emir Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani) dan Jordan (Menemui Raja Abdullah II).
  • Mei: Brunei Darussalam (Menerima Bintang Kebesaran Negara) dan Thailand.
  • Julai: Perancis (Menghadiri perayaan Hari Bastille).
  • Ogos: Singapura (Menghadiri perbarisan Hari Kebangsaan).
  • September: Lawatan siri ke Jepun, Amerika Syarikat, Kanada, dan Belanda.
  • Disember: Lawatan susulan ke Rusia untuk membincangkan isu tenaga.

Tahun 2026

[sunting | sunting sumber]
  • Januari: Switzerland dan United Kingdom – Fokus kepada forum ekonomi dan pelaburan teknologi tinggi.
  • Mac: Lawatan ke Jepun dan Korea Selatan sebagai rakan pelabur utama.
  • April: Rusia (12 April 2026) – Menemui Presiden Vladimir Putin di Moscow untuk membincangkan jaminan bekalan minyak, tenaga nuklear, dan kestabilan geopolitik.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ↑ A.S.: /prɑːˈboʊwoʊ suːbiːˈɑːntoʊ/ ( dengar); Indonesia: [praˌbowo subiˌanto]. Di bawah sistem ejaan bahasa Indonesia moden, nama keluarganya akan dieja sebagai Joyohadikusumo, Indonesia: [d͡ʒojohadikuˈsumo].
  1. ↑ "President Prabowo Receives Honorary Medal from US Special Operations Command at Merdeka Palace". Sekretariat Kabinet Republik Indonesia. 4 Ogos 2025. Dicapai pada 14 Januari 2026.
  2. ↑ Slater, Dan (2024). "Indonesia's High-Stakes Handover". Journal of Democracy. 35 (2): 40–51. doi:10.1353/jod.2024.a922832. ISSN 1086-3214.
  3. ↑ "Prabowo Looks to Win Indonesia Presidency: What to Know". Time (dalam bahasa Inggeris). 14 Februari 2024. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 Februari 2024. Dicapai pada 14 Februari 2024.
  4. ↑ Paddock, Richard C. (14 Oktober 2020). "Indonesian Defence Chief, Accused of Rights Abuses, Will Visit Pentagon". The New York Times (dalam bahasa Inggeris AS). ISSN 0362-4331. Diarkibkan daripada yang asal pada 22 Oktober 2020. Dicapai pada 14 Februari 2024.
  5. ↑ "KPU Resmi Tetapkan Prabowo-Gibran Menang Pilpres 2024". nasional (dalam bahasa Indonesia). Diarkibkan daripada yang asal pada 20 Mac 2024. Dicapai pada 21 Mac 2024.
  6. ↑ "PDI-P hails Prabowo as Megawati's running mate". The Jakarta Post. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 Januari 2012.
  7. ↑ Media, Kompas Cyber (22 November 2011). "Prabowo Runs for President". KOMPAS. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 November 2011. Dicapai pada 23 November 2011.
  8. ↑ "Jakarta governor Widodo wins Indonesian presidential election". Indonesia News. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 Oktober 2014. Dicapai pada 23 Julai 2014.
  9. ↑ "Dihadiri AHY, Prabowo-Sandiaga Uno resmi mendaftar di KPU". BBC News Indonesia (dalam bahasa Indonesia). 10 Ogos 2018. Diarkibkan daripada yang asal pada 26 Ogos 2018. Dicapai pada 26 Ogos 2018.
  10. ↑ Ghaliya, Ghina (21 Mei 2019). "KPU names Jokowi winner of election". The Jakarta Post. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 Mei 2019. Dicapai pada 23 Mei 2019.
  11. ↑ Barker, Anne (22 Mei 2019). "Prabowo Subianto's loss in Indonesia's election sparks deadly protests in Jakarta". ABC News. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 Mei 2019. Dicapai pada 23 Mei 2019.
  12. ↑ "Prabowo jadi menteri pertahanan, pengamat militer: Pandangannya 'berbahaya'". BBC News Indonesia (dalam bahasa Indonesia). Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Disember 2023. Dicapai pada 8 Disember 2023.
  13. ↑ "Sekjen Gerindra: Insyaallah Prabowo Maju Pilpres 2024". detiknews (dalam bahasa Indonesia). 10 Oktober 2021. Diarkibkan daripada yang asal pada 10 Oktober 2021. Dicapai pada 10 Oktober 2021.
  14. ↑ Teresia, Ananda; Lamb, Kate; Suroyo, Gayatri (12 Ogos 2022). Kapoor, Kanupriya (penyunting). "Indonesia defence minister Prabowo accepts party's nomination to run for president". Reuters. Diarkibkan daripada yang asal pada 7 Oktober 2022. Dicapai pada 13 Ogos 2022.
  15. ↑ "Indonesia election 2024: Prabowo Subianto hails 'victory for all Indonesians' as early counts show him in lead with 58%". South China Morning Post. 15 Februari 2024. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 Februari 2024. Dicapai pada 16 Februari 2024.
  16. ↑ "Pemilu 2024: KPU umumkan Prabowo-Gibran raih suara terbanyak, bagaimana nasib dugaan kecurangan?". BBC News Indonesia (dalam bahasa Indonesia). 19 Mac 2024. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 Mac 2024. Dicapai pada 20 Mac 2024.
  17. ↑ Rahmawati, Dwi; Sari, Brigitta Belia Permata; Muliawati, Anggi. "MK Tolak Gugatan Sengketa Pilpres 2024 dari Anies-Cak Imin!". detiknews (dalam bahasa Indonesia). Diarkibkan daripada yang asal pada 9 Mei 2024. Dicapai pada 22 April 2024.
  18. ↑ Sari, Brigitta Belia Permata; Rahmawati, Dwi; Muliawati, Anggi. "MK Juga Tolak Gugatan Hasil Pilpres 2024 dari Ganjar-Mahfud!". detiknews (dalam bahasa Indonesia). Diarkibkan daripada yang asal pada 9 Mei 2024. Dicapai pada 22 April 2024.
  19. ↑ Rosseno Aji; Emir Yanwardhana. "MK Tolak Gugatan Anies-Ganjar, Kapan Prabowo Ditetapkan Jadi Presiden?". CNBC Indonesia (dalam bahasa Indonesia). Dicapai pada 22 April 2024.
  20. ↑ Ratcliffe, Rebecca; Hariandja, Richaldo (14 Februari 2024). "Indonesia election: minister dogged by rights abuse claims 'takes early lead'". The Guardian.
  21. ↑ Kompas (22 Disember 2008). "Ibu Prabowo Meninggal di Singapura". Dicapai pada 5 Mei 2014.
  22. ↑ Ken Conboy (2003). Kopassus: Inside Indonesia's Special Forces. Equinox Publishing. m/s. 290. ISBN 9789799589880.
  23. 1 2 Friend, T. (2003). Indonesian Destinies. Harvard University Press. m/s. 276. ISBN 0-674-01137-6. Ralat petik: Parameter """)" yang tidak sah dalam tag <ref>. Parameter yang disokong ialah: details, dir, follow, group, name.
  24. ↑ Ken Conboy (2003). Kopassus: Inside Indonesia's Special Forces. Equinox Publishing. ISBN 9789799589880.
  25. ↑ Davis, Mark (12 Julai 1999). "Blood on the Cross". Four Corners, Australian Broadcasting Corporation.
  26. ↑ Ralat petik: Parameter """)" yang tidak sah dalam tag <ref>. Parameter yang disokong ialah: details, dir, follow, group, name. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama "prabowoft"
  27. ↑ "Profil Prabowo Subianto". Sindonews. Dicapai pada 2024. {{cite web}}: Check date values in: |access-date= (bantuan)

Bacaan lanjut

[sunting | sunting sumber]

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]

Templat:Sister project link

Jawatan politik
Didahului oleh
Joko Widodo
Presiden Indonesia
20 Oktober 2024 – kini
Pemegang jawatan kini
Didahului oleh
Ryamizard Ryacudu
Menteri Pertahanan
2019–2024
Diikuti oleh:
Sjafrie Sjamsoeddin
Jawatan parti politik
Didahului oleh
Suhardi
Pengerusi Umum Parti Gerindra
2014–kini
Pemegang jawatan kini
Didahului oleh
Dirinya sendiri
sebagai calon naib presiden
Calon Parti Gerindra
untuk Presiden Indonesia

2014, 2019 (tewas)
2024 (menang)
Penyandang kini
Parti politik baharu Calon Parti Gerindra
untuk Naib Presiden Indonesia

2009 (tewas)
Diikuti oleh:
Dirinya sendiri
Pegawai tentera
Didahului oleh
Sugiono
Panglima Kostrad
1998
Diikuti oleh:
Johny Lumintang (pemangku)
Didahului oleh
Subagyo Hadi Siswoyo
Komandan Jeneral Kopassus
1995–1998
Diikuti oleh:
Muchdi Purwopranjono
Susunan keutamaan
Pertama Susunan keutamaan Indonesia
Presiden
Diikuti oleh:
Gibran Rakabuming Raka